KUALA LUMPUR: Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin menasihatkan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor agar menjaga percakapan di pentas politik.

Hashim berkata, Muhammad Sanusi perlu memastikan apa yang diucapkan tidak menyentuh sensitiviti berkaitan kaum, agama dan institusi diraja (3R) hingga menimbulkan kontroversi.

Teguran itu hadir susulan ucapan Muhammad Sanusi dalam satu ceramah baru-baru ini yang dikatakan seolah-olah memperlekehkan Sultan Selangor.

Hashim berkata, pengarah pilihan raya Perikatan Nasional (PN) perlu lebih bertenang dan berlapang dada.

“Sanusi ke… tak kiralah pemimpin mana pun, perlu lebih bertenang,” katanya seperti dilaporkan portal Free Malaysia Today.

Susulan ucapan tersebut, Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain mengesahkan Muhammad Sanusi disiasat bagi kesalahan berkait perkara 3R.

Sebelum itu, Muhammad Sanusi yang juga menteri besar Kedah turut mencetuskan kontroversi menerusi sesi podcast Keluar Sekejap disiarkan Isnin lalu dengan mendakwa orang bukan Islam paling ramai ditangkap atas kesalahan memberi dan menerima rasuah.

Mengakui Muhammad Sanusi sebagai pemimpin Pas “yang agak keras”, Hashim berkata, ucapan menyentuh sensitiviti seolah-olah sukar dielak ketika masing-masing berada dalam mood pilihan raya.

“Bila berada atas pentas (ceramah politik) kemungkinan itu ada (tidak boleh kawal percakapan) kerana kita dalam mood pilihan raya.

“Perkara itu boleh timbul,” katanya lagi.

Hashim juga mengharapkan semua pihak boleh berlapang dada dan memaafkan sesama sendiri untuk mengelak pertikaian itu berlanjutan hingga ke mahkamah.